Sepasang kekasih antara 3 ditahan polis disyaki edar, miliki ganja

Sebanyak 20 paket plastik lutsinar bersaiz kecil dipercayai berisi dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja turut ditemui dalam serbuan tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Okt: Seorang wanita dan teman lelakinya antara tiga ditahan dan dadah jenis ganja mampat seberat 1.62kg turut dirampas oleh polis dalam satu jam setengah serbuan di dua lokasi berasingan pada Khamis (21 Okt).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari dalam satu kenyataan medianya hari ini berkata, anggaran rampasan bernilai RM9,750.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Miri sekitar jam 6 petang sehingga 7.30 petang semalam.

“Tangkapan dilakukan di hadapan sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Piasau dan sebuah rumah di Pujut Padang Kerbau dan kita telah menahan kesemua suspek berusia 27 , 31 dan 32 tahun kerana disyaki terlibat dalan aktiviti pengedaran dadah,” jelas Hakemal.

Semasa serbuan dilakukan, polis menemukan empat bungkusan lutsinar mampatan dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja dan satu plastik warna merah di dalamnya mengandungi 20 paket plastik lutsinar berisi dedaun kering mampat.

“Kesemua suspek kini sedang ditahan untuk siasatan lanjut,” jelas Hakemal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah telah membenarkan tahanan direman selama tujuh hari bermula hari ini ke atas dua suspek lelaki , manakala suspek wanita dibenarkan direman selama lima hari. — DayakDaily