Oleh Dean Adam
TATAU, Jun 4: Perjalanan tiga saudara pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka menemui ajal dalam kemalangan di Sungai Serupai di sini hari ini.
Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa yang juga merupakan seorang wanita masih belum diketahui.
Sumber memberitahu, sebelum kejadian mangsa bersama dua lagi saudara dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Mukah.
Namun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan berkenaan.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan kereta tersebut remuk teruk.
“Mangsa pula tersepit dan tidak sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa selamat,” katanya di sini malam ini.
Sumber menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Dua mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily