Enam buah rumah pekerja Salcra musnah terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar enam unit rumah pekerja Salcra.

Oleh Dean Adam

SARATOK, Jun 4: Enam buah rumah pekerja ladang sawit Salcra di Lubok Nitik dekat sini musnah terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, kesemua rumah berkenaan berkenaan terbakar 100 peratus.

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.05 malam.

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar satu blok rumah pekerja yang mempunyai enam unit kediaman.

“Pasukan bomba kemudian segera bertindak membuat operasi pemadaman bagi mengelak api merebak ke kawasan lain,” katanya di sini malam ini.

Jurucakap sama menambah, kebakaran tersebut berjaya dikawal dan kerja kerja pemadaman peringkat ‘overhaul’ sedang dijalankan oleh anggota bomba.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily