Seorang wanita maut dalam kemalangan di Jambatan Batu Kawah

Keadaan motosikal mangsa yang remuk akibat dilanggar dan diseret semasa kemalangan tersebut.
Advertisement

KUCHING , 18 Okt: Seorang wanita meninggal dunia, manakala seorang lelaki cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dan diseret sebuah pikap pacuan empat roda (4wd) di Jambatan Batu Kawah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nur Ashikin Benny, 23 tahun dari Kampung Hijrah, Simunjan.

Katanya, kedua-dua mangsa semasa kejadian dalam perjalanan dari arah MJC Batu Kawah menuju ke Kampung Sejijak Matang.

Advertisement

“Semasa bergerak lurus di lorong sebelah kiri di atas Jambatan Batu Kawah, motosikal yang dinaiki mangsa telah dilanggar dari belakang oleh sebuah 4wd menyebabkan mereka tercampak di atas jalan raya.

“Selepas itu, pemandu pikap terbabit melarikan diri dari tempat kejadian bersama kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala, mangsa lelaki yang berusia 22 tahun mengalami kecederaan di muka dan tangan telah dibawa ke HUS untuk rawatan.

Katanya semasa kejadian, cuaca dalam keadaan baik dengan kawasan jalan raya adalah lurus dan berlampu.

Sehubungan itu, Abang Zainal berkata pihaknya sedang mengesan pemandu pikap terbabit.

“Kami akan menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan identiti kenderaan terbabit dan saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement