Seorang wanita ditangkap, disyaki ejen judi dalam talian di Bau

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 14 April: Seorang wanita dari Taman Palma Indah, Jalan Matang ditangkap disyaki terlibat kegiatan judi dalam di Pekan Jambusan Lama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek, 24 tahun ditangkap oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau yang melakukan serbuan ke atas sebuah kedai makan pada jam 3.55 petang.

Katanya, suspek dipercayai bekerja sebagai ejen menjual tambah nilai judi dalam talian.


“Suspek ditangkap dan beberapa barang dirampas daripadanya yang disyaki berkaitan judi dalam talian iaitu wang tunai, telefon bimbit dan kertas tertulis kod untuk tambah nilai judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. ā€” DayakDaily