Seorang wanita antara yang ditangkap berkaitan kes dadah di MJC

Suspek-suspek yang ditangkap dan kereta yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 19 Nov: Polis menahan lima individu, termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abg Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira jam 1.50 petang.

Katanya, suspek wanita yang ditangkap berusia 32 tahun dan empat suspek lelaki berusia lingkungan 22 sehingga 31 tahun.


“Salah seorang suspek telah menyerahkan satu beg kecil berwarna coklat daripada konsol gear kereta tersebut.

“Pemeriksaan dalam beg tersebut menemui 13 paket lutsinar yang di dalamnya berisi ketulan kristal disyaki jenis dadah Syabu dan tujuh balutan soletap warna putih berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 143 gram dianggarkan bernilai RM14,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing kesemua suspek lelaki didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Manakala suspek wanita didapati negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta (Perodua Kancil) dipercayai milik suspek juga mendapati nombor chasis enjin kereta tersebut telah diganggu dan disyaki kenderaan curi,” katanya. — DayakDaily