Seorang tersepit dalam kemalangan babitkan dua 4WD di Balai Ringin

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SERIAN, 26 Dis: Dua buah kereta jenis pacuan empat roda (4WD) berlanggar menyebabkan seorang daripada pemandunya tersepit dalam kemalangan di Batu 16 Jalan Balai Ringin, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata laporan kemalangan tersebut diterima pada jam 9.56 pagi dan anggota dari Balai Bomba Serian terus ke lokasi kejadian.

“Sampai di lokasi, komander operasi melaporkan seorang mangsa lelaki masih tersepit, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan berjaya keluar sendiri.


“Mangsa yang tersepit kemudian segera dikeluarkan dan kemudian diserahkan kepada Unit EMRS untuk rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seterusnya mangsa telah dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

“Pemandu sebuah lagi 4WD mengalami kecederaan patah jari kiri,” katanya.

Pihak Bomba kemudian membersihkan jalan raya berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.02 pagi. — DayakDaily