Jawatankuasa pengurusan jenazah Masjid At-Taqwa Miri beri perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma

Kelihatan Rosli (duduk tiga dari kiri) dan Iqbal (tiga dari kanan) bersama ahli jawatankuasa pengurusan jenazah masjid.

MIRI, Dis 26: Jawatankuasa Pengurusan Jenazah, Masjid At-Taqwa Miri yang berpusat di Masjid At-Taqwa Miri—sebuah masjid bertaraf Masjid Bahagian di Bandaraya Miri—kini memberikan khidmat Fardhu Kifayah secara percuma bagi semua warganegara Malaysia di Miri, yang pertama seumpamanya di Sarawak.

Selama ini, jawatankuasa itu telah memberikan perkhidmatan percuma kepada asnaf fakir, saudara baru atau mualaf dan kanak-kanak, namun tiba masanya ianya diperluaskan kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira status kekayaan.

Perkhidmatan percuma ini meliputi keranda percuma, barang-barang bagi tujuan pengurusan seperti kain kafan, cendana, kapur barus, minyak wangi, sabun, tuala dan sebagai juga percuma termasuk kos pengangkutan iaitu penggunaan van jenazah tanpa mengurangkan walaupun sedikit kualiti perkhidmatan yang diberikan.


Penyelaras jawatankuasa Rosli Buang menyifatkan bahawa ianya sesuai dengan tuntutan Fardhu Kifayah semasa selain dapat meringankan beban waris yang ditinggalkan.

Bendahari jawatankuasa Iqbal Abdollah yang mencetuskan idea ini menyatakan bahawa sebelum ini walaupun caj pengurusan jenazah masjid masih dianggap murah iaitu dalam lingkungan RM370 hingga RM420 mengikut kawasan, namun masih ada juga yang merasakan ianya mahal sedangkan caj yang dikenakan (Masjid At-Taqwa) mungkin adalah yang termurah di Sarawak.

Namun, bagi melestarikan jawatankuasa ini agar terus relevan dalam jangkamasa lebih panjang, beliau menggalakkan orang Muslim di Miri khususnya dan di Malaysia secara amnya memberikan sedekah jariah dalam bentuk wang ringgit terus kepada akaun bank Jawatankuasa Pengurusan Jenazah bagi meringankan beban jawatankuasa melalui nombor akaun Bank Muamalat 11020000880711, JKUASA PENGURUSAN JENAZAH MASJID AT TAQWA MIRI.

Jawatankuasa itu yang telah beroperasi lebih 20 tahun memerlukan lebih kurang RM25,000 setahun bagi memastikan pengurusan beroperasi dengan lancar.

Jawatankuasa tersebut juga memberikan perkhidmatan pengurusan jenazah kepada bukan warganegara, jenazah yang tidak dituntut, jenazah yang mempunyai penyakit berjangkit dan menganjurkan kursus pengurusan jenazah asas dan lanjutan secara teori dan praktikal di mana-mana sahaja di Bahagian Miri ini.

Mereka boleh menghubungi atau mengunjungi Masjid At-Taqwa Miri dan berjumpa dengan Rosli Buang (0112-5128851). — DayakDaily