Penggunaan baja sisa organik jamin pulangan pendapatan lebih baik – Zuraida

Datuk Zuraida Kamaruddin (file pic)

KUCHING, 14 Jun: Pengusaha ladang sawit, tanpa mengira saiz ladang digesa untuk mengoptimumkan penggunaan baja daripada sisa organik bagi menggantikan baja berasaskan kimia.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini ekoran kenaikan harga baja yang mencecah sehingga 60 peratus daripada jumlah kos pengeluaran minyak sawit.

“Selain dapat memberi pulangan kepada pengusaha ladang, penggunaan baja daripada sisa organik juga dilihat membantu dalam aspek keselamatan makanan.


“Ini memandangkan pengeluaran makanan yang selamat adalah penting untuk melindungi pengguna di dalam negara, daripada bahaya penyakit bawaan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zuraida, hasrat ini juga selaras dengan saranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu usaha untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) semasa pengeluaran di ladang dan proses pasca pengeluaran penghasilan produk pertanian.

Katanya, Kementerian turut menggalakkan pengusaha ladang dan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dengan melaksanakan penanaman berselang.

“Hal ini kerana, penanaman berselang diyakini boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan pemgeluaran sawit,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, penanaman kelapa sawit kini menghadapi kenaikan kos operasi antara 10 dan 15 peratus berpunca daripada lonjakan dalam kos baja, buruh dan bahan api.

“Kenaikan harga baja minyak sawit merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan berpunca daripada tekanan inflasi dan konflik Rusia-Ukraine.

“Penggunaan kaedah setempat untuk mengatasi kekurangan dan harga baja yang terlalu tinggi adalah lebih berkesan,” kata Zuraida. — DayakDaily