Dua tersepit dalam kemalangan kendiri di Jalan Miri-Bintulu

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, 15 Dis: Seorang lelaki dan wanita dilaporkan tersepit di dalam kereta yang terlibat kemalangan kendiri di Jalan Batu 22 Jalan Miri-Bintulu, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.04 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Camry telah terbabas ke tepi jalan dan terdapat dua mangsa tersepit di dalamnya.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Seterusnya kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans KKM dan EMRS bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas operasi selesai pada jam 1.55 petang. — DayakDaily