Seorang maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Kuching-Serian

Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SERIAN, 9 Mei: Seorang maut, seorang lagi cedera dalam kemalangan kendiri di Batu 29 Jalan Kuching-Serian lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kemalangan tersebut pada jam 12.44 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta yang telah melanggar pembahagi jalan.

“Didapati terdapat seorang mangsa dalam keadaan sedar telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dihantar ke hospital.

“Manakala terdapat seorang lagi mangsa lelaki yang tersepit di ruang pemandu di dalam kereta dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Febrian Decster Thomas.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Setelah memastikan keadaan selamat, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai,” katanya. — DayakDaily