Seorang lelaki maut, tiga parah dalam kemalangan

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Mei 6: Seorang lelaki maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kemalangan di Jalan Baru, Sematan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai David Dillon Anton, 19.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 6.25 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Lundu telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki lima individu telah terbabas di bahu jalan.

“Pemeriksaan mendapati seorang mangsa berjaya keluar dari kenderaan, tiga orang mangsa tercampak keluar di tepi jalan, manakala seorang lagi mangsa masih tersepit di bahagian penumpang belakang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa yang tersepit kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan khas.

Katanya, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Empat mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya. — DayakDaily