Orang ramai digesa semak kesahihan jika perlu buat pembayaran pendahuluan

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 6: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak mengingatkan rakyat di negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan menyemak kesahihan sesuatu perkara yang memerlukan mereka membuat pembayaran pendahuluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sepanjang minggu kajian bagi tempoh April 29, 2019 sehingga Mei 5, 2019, sebanyak tujuh kes pinjaman tidak wujud dicatatkan di Sarawak dengan jumlah kerugian sebanyak RM95,520.


Tegas beliau, bagi tempoh Januari 1, 2019 sehingga Mei 5, 2019 pula, sebanyak 91 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM767,171.04.

“Selain itu, sebanyak 12 orang telah ditangkap berhubung kes penipuan pinjaman tidak wujud pada tahun ini.

“Kecuaian ini boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat kerana mereka sudah semestinya di dalam kesusahan sehingga ingin membuat pinjaman wang tetapi ditipu pula oleh sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui media sosial Facebook (FB), laman sesawang atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat, Instagram dan sebagainya.

Sehubungan itu jelasnya, anggota masyarakat dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen jika benar-benar terdesak untuk membuat pinjaman.

“Pinjaman yang dibuat oleh orang ramai ini tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007, Akta Koperasi 1993, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan sebagainya.

“Anggota masyarakat juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak. Sekiranya akaun bank tersebut digunakan oleh penjenayah, pemilik akaun jika dibuktikan boleh dituduh di mahkamah,” katanya.

Sambil menambah, sekiranya anggota masyarakat mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, mereka boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222. ā€” DayakDaily