Seorang lelaki maut, remaja perempuan parah dalam kemalangan

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Feb 6: Seorang lelaki maut, manakala seorang remaja wanita cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lawas Damit, berhampiran Kampung Batu Mulong di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Lois Jabli, 26.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kecuaian seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, siasatan mendapati pemandu itu dikatakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa. Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah.

“Kesan kemalangan itu juga mengakibatkan Toyota Hilux berkenaan merempuh seorang remaja perempuan yang kebetulan duduk lepak di stesen bas di bahu jalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux.

Mengulas lanjut, pemandu kenderaan tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lawas untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera parah juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily