Pelajar maut, motosikal rempuh tiang lampu

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 6: Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu di Jalan Sultan Tengah di sini awal hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Nur Isyaduddin Ibrahim, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kriss AN110E, sedang dalam perjalanan menuju ke Samariang dari pusat bandar raya ini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di bahu jalan berkenaan.

“Kesan rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily