Seorang lelaki dan wanita ditahan disyaki terlibat dengan dadah

Kelihatan suspek dan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Okt 23: Polis menahan seorang lelaki dan wanita selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di hadapan kedai makan TGC, MJC Batu Kawah New Township di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, SUPT Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 20 dan 24 tahun.


Jelasnya, sebelum itu, sepasukan anggota polis telah menahan suspek lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah pada pukul 4 petang.

“Pemeriksaan badan telah menjumpai satu paket plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.2 gram.

“Dadah itu dijumpai di dalam poket sebelah kanan seluar pendek warna hitam yang dipakai suspek,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah bilik sewa di situ dan menemui seorang wanita sedang baring di dalam bilik tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.15 gram di atas meja kecil dalam bilik tersebut.

“Polis kemudian menahan kedua-dua suspek untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 12(2) 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily