Semua program pendedahan skuad tinju Sukma Sarawak dibatalkan

Datuk Rahman Lariwoo

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 21 Mac: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) mengambil keputusan untuk membatalkan semua program yang telah dirancang sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX di Johor.

Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo memberitahu pembatalan program itu membabitkan latihan pendedahan di luar negara seperti Batam, Indonesia dan Filipina.


Turut dibatalkan adalah semua perancangan untuk menyertai kejohanan-kejohanan yang diadakan di Semenanjung Malaysia, jelas beliau.

“Kita terpaksa membatalkan semua program yang telah dirancang sebelum ini. Ia bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dikeluarkan oleh pihak kerajaan susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini,” kata Rahman hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata latihan tetap akan diteruskan seperti biasa di Kuching.

“Para petinju akan menjalani latihan di Kuching sahaja ketika ini di bawah kendalian tiga jurulatih berpengalaman iaitu Muhammad Herman Morni, Wilbur Andogan dan lagenda tinju negara, Sapok Biki,” katanya lagi.

Sukma XX Johor dijadual berlangsung dari 11 hingga 19 Julai, 2020. — DayakDaily