Covid-19: Pasar Serikin lengang

Pasar Serikin yang menjadi tumpuan pada Sabtu dan Ahad hari ini lengang, tiada kelihatan peniaga dan pengunjung.

By Chris Bishop

BAU, 21 Mac: Pasar Serikin yang kebiasaannya dikunjungi orang ramai pada hujung minggu, kini lengang tanpa sebarang aktiviti jual beli.

Tinjauan media bersama Pasukan Gerak Am (PGA) Sarawak mendapati tiada seorang pun peniaga mahupun pengunjung kelihatan hari ini.


Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Supt Rosdi Inai, berkata suasana lengang berlaku setelah penduduk dan peniaga akur pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Buat pertama kalinya, Pasar Serikin kelihatan lengang begini. Kebiasaannya pada Hari Sabtu dan Ahad, Serikin dipenuhi dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Kita hendak memberi gambaran bahawa penduduk tempatan di sini memberi maklum balas positif dan mematuhi sepenuhnya arahan kawalan pergerakan yang disampaikan oleh pihak kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac ini,” katanya.

Rosdi ketika ditemui media di Pasar Serikin, Bau.

Tambah Rosdi, Kerajaan Indonesia di Kalimantan juga telah melaksanakan larangan rakyatnya keluar, khususnya ke Serikin sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Rakan kita dari sebelah turut melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan ia terbukti setelah Pasar Serikin hari ini lengang,” katanya.

Menurut beliau lagi, walaupun berusaha membendung penularan wabak Covid-19, pasukan PGA Sarawak tidak melupakan tanggungjawab mengawal keselamatan di sempadan.

“Walaupun Covid-19 menjadi isu utama kini, anggota-anggota PGA yang bertugas di sempadan tidak pernah mengabaikan isu sempadan.

“Jenayah rentas sempadan tetap menjadi keutamaan PGA dan anggota-anggota kita sentiasa melakukan rondaan termasuk di setiap jalan tikus,” ujar beliau.

Rosdi yakin semua sempadan di bawah pengawasan PGA seperti di Telok Melano, Bunan Gega, Serikin dan Tebedu dalam keadaan terkawal. — DayakDaily