Selesaikan segera masalah banjir kilat di Taman Univista

Boniface Lembang Jingai

Oleh Cornelius Kadir Edison

KOTA SAMARAHAN, 5 Mac: Penduduk di Taman Univista mahu masalah banjir kilat yang sering melanda di kawasan tersebut setiap kali hujan berterusan diselesaikan dengan segera oleh pihak yang berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Univista Boniface Lembang Jingai berkata masalah itu sudah dihadapi oleh penduduk di taman berkenaan sejak 12 tahun lalu akibat kegagalan sistem saliran dan perparitan.


“Pembangunan yang pesat di sekitar kawasan ini telah menyebabkan sistem perparitan ini gagal untuk menampung air yang banyak apabila keadaan hujan yang berterusan.

“Kejadian banjir kilat pada 19 Februari lepas adalah yang terburuk pernah dialami oleh penduduk di siniĀ  dalam tempoh 10 tahun ini sehingga banyak harta benda kami, penduduk di taman ini rosak teruk.

“Keadaan ini diburukkan lagi apabila kami terpaksa menjalani arahan kuarantin wajib di rumah selepas kawasan taman ini di kenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dari 17 Februari hingga 2 Mac susalan terdapat kes positif melibat komuniti penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meyerahkan surat aduan mengenai permasalahan itu kepada wakil Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stakan Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud serta wakil daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini hari ini.

Boniface (kiri) menyerahkan surat aduan penduduk Taman Univista kepada Syahrizzal hari ini (5 Mac, 2021).

Beliau berkata, kominiti di taman berkenaan sentiasa bersedia untuk meberikan kerjasama kepada agensi-agensi terlibat untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut termasuk memberikan khidmat konsultan kepada agensi terbabit jika diperlukan.

Ini kerana menurut beliau, pihaknya amat arif berkenaan situasi dikawasan taman tersebut dan berharap maklumat yang diberikan itu akan dapat membantu pihak berwajib menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Sementara itu, pegawai khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Syahrizzal Afenddy Adam berkata, isu banjir kilat yang dihadapi oleh penduduk di Taman Univista sentiasa mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Rubiah katanya sentiasa berunding dan mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak dalam memperincikan tindakkan bersesuai untuk menangani masalah tersebut.

“Yang Berhormat Rubiah sendiri pernah mengutarakan masalah tersebut pada sidang Parlimen dan memohon peruntukkan kepada kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah atau isu ini.

“Bagaimanapun dalam tempoh ini negara kita telah dua kali bertukar kerajaan meyebabkan urusan untuk mendapatkan peruntukkan bagi mengatasi masalah itu sedikit terganggu,” katanya.

Boniface (dua,kiri) bergambar bersama wakil Adun Stakan, wakil Ahli Parlimen Kota Samarahan dan wakil MPKS selepas menyerahkan surat aduan penduduk Taman Univista kepada wakil-wakil berkenaan.
Syahrizzal berkata, pihaknya tidak pernah sesekali mengenepikan isu terbabit dan memberikan jaminan akan melakukan rundingan dengan pihak berwajib untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang bersesuaian dalam menangani isu banjir kilat terbabit.

Dalam pada itu, pegawai khas kepada Adun Stakan, Mohd Ainnie Wahab berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan AJK taman berkenaan, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kota Samarahan mengenai perkembangan isu terbabit.

Jelasnya, hubungan itu penting supaya setiap isu berkaitan terutamanya berkaitan kejadian banjir kilat akibat kegagalan sisitem perparitanĀ  sentiasa dalam pengetahuan pihaknya.

“Isu yang dihadapi penduduk di Taman Univista ini memerlukan khidmat pakar berkaitan dalam menyelesaikan masalah tersebut terutamanya melibatkan kawasan yang lama.

“Justeru saya akan panjangkan perkara ini ke pengetahuan Adun Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud untuk tindakkan dan seterusnya berunding dengan agensi-agensi terlibat bagi mecari penyelesaian kepada isu yang dihadapi penduduk di sini,” katanya. ā€” DayakDaily