Selari ledakan teknologi maklumat hari ini, kuasai STEM

Datuk Sri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama pelajar SMK Simunjan No. 1.

SIMUNJAN: Penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting selari dengan ledakan teknologi maklumat pada hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Nancy Shukri berkata, penggunaan dan aplikasi teknologi tinggi yang ada pada gajet, digunakan oleh setiap lapisan masyarakat yang menunjukkan transformasi landskap ke dunia digital.

“Ini menyaksikan trend baru dalam aktiviti harian, termasuklah pembelian barangan atas talian, pesanan makanan atas talian, malah, untuk ke satu tempat juga boleh dilakukan melalui aplikasi atas talian seperti perkhidmatan yang ada pada masa ini (Uber dan Grab),” katanya di Program Akademik Teknik Menjawab Soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran Sarawak Dayak Graduates Association (SDGA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1, di sini hari ini.


Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, banyak manfaat yang dapat diperolehi sebagai pengguna termasuklah menjimatkan masa dan kos.

“Bagi mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan berteraskan aplikasi atas talian, sudah tentu ia akan mendatangkan hasil yang lumayan kerana adanya permintaan daripada pengguna masa kini.

“Justeru, adalah menjadi satu kerugian kepada mereka yang tidak memperkemas-kinikan ilmu pengetahuan mereka kerana revolusi yang sedang berlaku pada masa ini bergerak amat pantas dan mengundang pelbagai cabaran baharu yang tidak mungkin terlintas di fikiran kita,” katanya.

Katanya, generasi muda hari ini juga harus bergerak pantas dalam apa jua aspek kehidupan agar mereka dapat menangani cabaran dunia era globalisasi hari ini.