Wanita terperangkap dalam keretanya yang berlanggar dengan sebuah pikap

Keadaan kereta mangsa selepas berlanggar dengan sebuah Hilux.

BINTULU: Seorang wanita terperangkap di dalam keretanya selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah pikap jenis Toyota Hilux di Batu 12 Jalan Bintulu-Miri malam tadi.

Jurucakap Bomba berkata pihak menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.25 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 11.46 malam.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan 2 buah kenderaan iaitu jenis Toyota Hilux berlanggar dengan kereta Produa Kelisa dan terdapat seorang mangsa terperangkap di bahagian tempat duduk pemandu mengalami cedera di bahagian kepala dan bahagian paha sebelah kiri.


“Pihak bomba Bintulu bertindak membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dengan menggunakan pengusung,” katanya.

Keadaan Hilux tersebut selepas berlanggar dengan kereta mangsa.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak ambulan dan seterusnya dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan.

Manakala pemandu Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.