KUCHING, 2 April: Sektor pertanian menyumbang sebanyak 12.1 peratus atau RM16.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada tahun 2019.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), jumlah itu mencatatkan lebihan imbangan perdagangan pertanian negeri sebanyak RM6.9 bilion.
Manakala bagi tahun 2020, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Sarawak telah mencatatkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu sebanyak RM48,597.
Katanya, sektor pertanian telah diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khususnya di bawah pemacu perubahan yang kedua.
“Pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka merentasi semua subsektor agromakanan termasuk padi dan beras bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
“Kadar tahap sara diri (SSL) beras negara ketika ini berada pada paras sekitar 63 peratus. Keadaan ini menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengoperasian Kilang SPPC Stumbin Anatara MAFI dan Bernas di Kilang SPPC Stumbin di Sri Aman pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Maclaine Ben @ Martin Ben dan MP Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Sementara itu, Dr Ronald memberitahu, kerajaan melihat terdapat keperluan untuk meningkatkan produktiviti padi di peringkat domestik.
Katanya, sehingga Mac 2022, Program SMART SBB di Sarawak sedang dilaksanakan di bawah seliaan IADA Batang Lupar dengan kerjasama Syarikat Peneraju Advansia (Sarawak) Sdn. Bhd. yang melibatkan kawasan seluas 60 hektar di L2 dan L3 Tanjung Bijat, Sri Aman.
“Program ini melibatkan seramai 245 orang peserta bagi kedua-dua musim ini dijangka dapat meningkatkan pendapatan pesawah.
“Beberapa kawasan lain di bawah seliaan Batang Lupar juga sedang diusahakan dan berharap lebih banyak pemain industri terutamanya Syarikat Peneraju di bawah Program SMART SBB dapat ke hadapan dan membawa idea dan inovasi baharu,” ujarnya lagi. — DayakDail