Umat Islam Malaysia mula berpuasa Ahad ini

Timbalan Datuk Bandar Miri Julaihi Mohamad dan wakil Residen Bahagian Miri Ruzaimie Jaini. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 2 April: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan tarikh 1 Ramadan 1443H bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada 3 April 2022, Ahad.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H/2022M telah diadakan di Pusat Falak, Luak Esplanade Miri pada Jumaat.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.


Ia dimulakan dengan bacaan doa oleh Ketua Unit Cerapan dan Rukyah, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) Mohammad Fauzi Hairani.

Selepas itu, hadirin yang hadir telah mendengar taklimat Rukyah Hilal yang disampaikan Pengurus Pusat Falak Miri Jalalludin Bakar.

Pada jam 6:33 petang, Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H bermula dan disusuli azan Maghrib pada jam 6:34 petang.

Hadirin yang hadir telah sama mengerjakan solat fardu Maghrib secara berjemaah sebelum mendengar pengesahan Hilal Ramadan 1443H dan mengesahkan anak bulan tidak kelihatan.

Pusat Falak Miri merupakan bangunan pertama seumpamanya di Sarawak yang digunakan sebagai suatu tempat untuk mencerap atau melihat anak bulan.

Selain itu, pusat juga memperkasakan kajian dan pembangunan ilmu sains astronomi ke satu tahap yang lebih ke hadapan.

Terletak di Luak Esplanade, gabungan teknologi canggih dan terkini serta kepakaran tempatan dalam aspek ilmu falak berupaya meningkatkan kualiti tamadun Islam dan penyelidikan bidang astronomi.

Hadir sama MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pengarah JMNS Mual Suaud dan Ketua Masyarakat Kaum Melayu Temenggong Dato Abdul Rahman Abang Fadzail.

Dengan pengisytiharan itu, diucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Sarawak.— DayakDaily