Sektor e-dagang dijangka berkembang di Sarawak selepas pemansuhan GST

Naroden (depan, tengah) bersama Tiffin(belakang), Ling (dua dari kiri) dan lain merakamkan gambar di gerai pameran BOOST di tHe Spring, Kuching.
Advertisement

KUCHING, Mei 22: Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa Jun 1 nanti, diyakini akan menggalakkan sektor e-dagang sekali gus merealisasikan pelaksanaan ekonomi digital di Sarawak.

Menteri Muda E-Dagang, Datuk Mohd Naroden Majais berkata ia kerana perbelanjaan domestik dijangka meningkat sekali gus meningkatkan industri runcit dan sektor e-dagang termasuk industri pelancongan.

“Dengan pemansuhan GST, ini akan mengurangkan beban pembeli dan menyumbang kepada perbelanjaan domestik.

Advertisement

“Maka saya yakin, lebih banyak syarikat terutama pusat beli-belah akan mengadopsi pembayaran tanpa tunai secara mudah alih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran ‘Together Gather, Jom Celebrate’ dan Majlis Berbuka Puasa di tHe Spring, di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana memuji inisiatif tHe Spring yang menjadi pusat beli-belah pertama di bandaraya ini yang menawarkan pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi BOOST.

“Kita boleh meramalkan masa depan di mana kita tidak perlu mempunyai wang tunai di tangan ketika pergi membeli-belah atau makan di tHe Spring, tetapi hanya menggunakan telefon mudah alih untuk menyelesaikan urus niaga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun menggunakan e-dagang dalam urus niaga, pusat beli-belah di negeri ini amnya harus sentiasa menyediakan persekitaran dan pengalaman membeli belah yang menarik kepada orang ramai.

Turut hadir pengurus besar tHe Spring, Datin Christine Ling dan ketua pegawai eksekutif BOOST, Chris Tiffin. — DayakDaily

Advertisement