KUCHING, 19 Julai: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2022
yang mengandungi nama bagi 38,786 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas telah diperaku dan diwarta pada hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Dato Indra Ikmarudin Ishak berkata, ia dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 19 Julai hingga 17 Ogos 2022.
“Daftar ini mengandungi nama bagi 38,786 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Manakala 10,414 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,591 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ikmarudin, SPR menyediakan 5 kaedah semakan bagi Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2022.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka. — DayakDaily