SPR saran pengundi buat semakan awal

Logo Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

KUCHING, 14 Jan: Warganegara berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Dis 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status boleh menyemak nama mereka dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Dato Indera Ikmalrudin Ishak berkata DPT BLN12/2021 telah diperaku dan diwartakan pada hari ini (14 Jan 2022).

DPT BLN 12/2021 ini dibuka untuk semakan selama 6 bulan mulai 14 Jan 2022 hingga 13 Julai 2022.


“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DPT BLN 12/2021 mengandungi nama bagi 5,718,760 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Dis 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 25,220 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.

Empat kaedah semakan bagi DPT BLN12/2021 adalah portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih boleh membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat – Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2021.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN12/2021 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. — DayakDaily