Belia 18 tahun di Sarawak layak mengundi pada PRN Ke-12

Abdul Rashid (tengah) selepas menghadiri Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Sarawak.

KUCHING, 28 Ogos: Belia berusia 18 tahun ke atas di Sarawak sudah boleh menuntut hak menjadi pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, ini berikutan rang undang-undang membolehkan belia berusia 18 tahun ke atas menjadi pengundi sudah diwartakan dan diguna pakai selepas diluluskan Parlimen baru-baru ini.

“Pengundi berumur 18 (ke atas) sudah pun terpakai dan diwartakan, jadi mereka boleh menuntut hak mereka supaya dimasukkan dalam daftar pemilih (sebelum PRN Ke-12),” katanya pada sidang media selepas Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Abdul Rashid (tengah) bersama peserta Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Sarawak.

Abdul Rashid bagaimanapun tidak menjangkakan belia terbabit akan sempat secara automatik didaftarkan sebagai pengundi sebelum PRN Sarawak Ke-12 dan perlu memohon mendaftar secara manual di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau secara atas talian.

“Peraturan sedia ini akan berterusan digunakan sehinggalah SPR bersedia melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik,” katanya.

Ini kerana mekanisma melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik masih belum diwujudkan lagi, disamping Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga menyatakan pihaknya belum bersedia melaksanakannya bersama SPR, kata Abdul Rashid.

“Antara sebabnya ialah orang ramai masih tidak memberikan alamat kediaman sebenar mereka atau menukarkan alamat mereka terkini kepada JPN dan ini termasuk penduduk Sarawak menetap dan bekerja di negeri lain seperti Johor Bahru,” tambah beliau.

Abdul Rashid berkata ini semuanya perlu diambil kira kerana apa sahaja alamat kediaman didaftarkan orang ramai di JPN akan dimasukkan terus ke dalam sistem SPR bagi melaksanakan pendaftaran pengundi automatik itu.

“Kamu mengundi dimana kamu menetap. Kalau tak tukar alamat, bagaimana kamu mengundi dimana kamu menetap dan ini menjadi prinsip bagi melaksanakan pendaftaran pengundi automatik terbabit,” ujar beliau. — DayakDaily