Tiada usul pendaftaran pengundi secara automatik, hanya libatkan penurunan had umur

Sign outside polling station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 5: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil maklum terdapat laporan media yang tidak tepat dan mengelirukan berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai pendaftaran pengundi secara automatik.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat adalah berhubung Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun sahaja.

Pindaan tersebut tidak melibatkan apa-apa cadangan untuk pendaftaran pengundi secara automatik.

“Pelaksanaan usul pindaan kepada Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tersebut yang dibentangkan di Dewan Rakyat hanya boleh dilakukan setelah pindaan dibuat kepada Borang A di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Borang 10 di bawah Peraturan 19(10) Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar menambah, untuk tujuan tersebut, salinan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 perlu dibuat edaran di dalam sesi persidangan Dewan Rakyat untuk perhatian serta makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Manakala apa-apa usul mengenai pendaftaran pengundi secara automatik pula ujarnya akan melibatkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini adalah berbeza dari usul pindaan mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun,” katanya. — DayakDaily