Seekor buaya 300kg tumpas di tangan penduduk kampung

Kelihatan adalah buaya besar seberat 300kg yang ditangkap di Sungai Gedong.

GEDONG, Dis 30: Para penduduk di Kampung Tengah Hilir di sini gempar selepas seekor buaya sepanjang hampir empat meter berjaya ditangkap di Sungai Gedong, hari ini.

Sang bedal seberat lebih 300 kilogram (kg) itu ditangkap selepas reptilia berkenaan dikatakan makan umpan kail daging kera yang dipasang di sekitar sungai tersebut.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Abang Roni berkata, sang bedal itu ditangkap kira-kira pukul 7 pagi.


Katanya, sebelum itu, beberapa penduduk yang keluar memeriksa pancing terkejut apabila mendapati salah satu mata kail terkena buaya tersebut.

“Panik melihat keadaan itu, mereka kemudian menghubungi penduduk lain untuk membantu memandangkan buaya tersebut sangat besar dan agresif.

“Selepas beberapa jam bergelut untuk menangkap sang bedal ganas itu, mereka akhirnya berjaya menjinakkan reptilia berkenaan sebelum dibawa balik ke jeti kampung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menceritakan lanjut, Abang Roni memberitahu, penduduk kampung terpaksa mengikat kaki sang bedal berkenaan bagi memudahkan membawa buaya itu ke darat.

Katanya, selepas berjaya mendaratkan buaya tersebut, para penduduk kampung tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar reptilia berkenaan.

“Buaya itu mati selepas beberapa jam didaratkan dan tindakan lanjut akan dilakukan,” katanya lagi. — DayakDaily