Buaya anggaran 12 kaki panjang dikesan di Nonok dan Sampun

Gambar fail untuk tujuan ilustrasi sahaja. Foto kredit: Pixabay

KUCHING, 13 Jan: Seekor buaya anggaran panjang 12 kaki dikesan di sungai di Nonok dan Sampun di Kota Samarahan.

Menurut laporan Sarawak Edition semalam, aduan diterima daripada penduduk kampung selain menggesa mereka yang terlibat dengan aktiviti di sungai agar berhati-hati.

“Boyak ya kamek sik sempat ambik gambar sebab telefon tertinggal di rumah, jadi mohon penduduk di sekitar berhati-hati.


“Kamek melihat seekor boyak besar dianggarkan panjang 10 hingga 12 kaki, nang besar,” kata pengadu.

Sehubungan dengan itu Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini menasihati penduduk di kawasan sekitar Nonok dan Sampun untuk sentiasa berhati-hati.

Sungai di sekitar Kampung Nonok dan Kampung Sampun memang menjadi lubuk rezeki kepada nelayan sungai.

Kebanyakan mereka terlibat di dalam aktiviti menangkap ikan, ketam, ambal dan kerang samada mengunakan pukat, pancing atau perangkap lain.

Sementara itu, Sarawak Edition hari ini juga melaporkan penemuan seekor buaya di Kampung Semariang Pinggir di Petra Jaya.

Menerusi satu klip video berdurasi 15 saat yang dikongsikan penduduk, buaya tersebut kelihatan melibaskan ekornya di tiang rumah sekitar jam 2 pagi tadi. — DayakDaily