Sedia ‘derma’ 50 peratus gaji serta elaun Ahli Parlimen kepada tiga sekolah di Lanang

Kong (lima kiri) merakam kenangan bersama tiga wakil dari sekolah persendirian Cina.

SIBU, Mei 8: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lanang, Kong Sien Chiu hari ini melakar sejarah tersendiri dengan menyerahkan surat perjanjian ‘mendermakan’ sebanyak 50 peratus daripada gaji dan elaunnya sebagai Ahli Parlimen kepada tiga buah sekolah persendirian Cina di kawasan itu sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu ini.

Kong berkata, tiga buah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong, SM Goung Ming Citizen dan SM Tinggi Katolik.

Difahamkan, ketiga-tiga buah sekolah itu masing-masing akan mendapat sumbangan bulanan sebanyak RM5,000.


Kong turut berikrar akan membantu semua sekolah rendah Cina di Parlimen Lanang menerusi peruntukan geran sebanyak RM100,000 setiap tahun.

“Ramai pengundi tidak percaya dengan janji ini. Justeru, pada hari ini saya telah menyediakan perjanjian bertulis kepada semua sekolah persendirian Cina terbabit.

“Saya akan merealisasikannya menerusi surat perjanjian ini dengan syarat BN menang di Parlimen Lanang pada Mei 9 ini,” katanya di sini semalam.

Kerusi parlimen Lanang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Kong (BN), penyandang kerusi itu Alice Lau Kiong Yieng (DAP) dan Priscilla Lau (SPP). — DayakDaily