Kerajaan negeri luluskan peruntukan sebanyak RM139.3 juta bagi Daerah Julau

Abang Johari (dua dari kiri) dan Joseph Salang (kanan) bergambar dengan penduduk di Rumah Jana, Batu Mario.

JULAU, Mei 8: Sejumlah RM139.3 juta peruntukan untuk Daerah Julau telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semalam.

Menurut beliau, daripada RM139.3 juta yang diluluskan itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan jambatan Sungai Kanowit di Kubu Brooke-Sungai Meluan yang akan menghubungkan 13 rumah panjang dan tiga sekolah di kawasan berkenaan.

“Sejumlah RM21 juta pula diluluskan bagi pembinaan jalan untuk Rumah Kedit Sungai Buloh-SK Ulu Entabai, Kemalih Julau.


“Sebanyak RM40.3 juta pula untuk menaik taraf Jalan Pakan, dan RM18 juta untuk jalan di Rumah Wilfred Uli ke Ulu Dayu, Pakan,” katanya.

Hadir sama ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum.

Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk pembinaan menara telekomunikasi di Daerah Julau.

Sementara itu, beliau mengulangi keyakinannya bahawa BN Sarawak akan menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 depan.

Jelas beliau, BN Sarawak mampu menang sekurang-kurangnya 28 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Hari ini kita mahu BN Sarawak memenangi kerusi, termasuk di Parlimen Julau dan saya harap BN Sarawak akan menang lebih banyak kerusi.

“Kenapa kita mahu memenangi lebih banyak kerusi? Ini kerana kita mahu Sarawak kuat dan kemudian suara kita boleh didengar di dalam kerajaan persekutuan.

“Sekiranya kita kuat, kita boleh berunding dengan kerajaan Persekutuan mengenai hak Sarawak kerana kita mahu mempertahankan dan mengambil kembali hak Sarawak,” ujarnya lagi. — DayakDaily