Sebuah rumah di Jalan Upper Lanang, Sibu musnah terbakar

Keadaan rumah tersebut yang terbakar.

SIBU, 19 Ogos: Sebuah rumah di Jalan Upper Lanang, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan dari MERS 999 pada jam 10.59 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral dan Sungai Merah segera dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah teres jenis dua tingkat telah terbakar 30 peratus di tingkat atas dan 100 peratus di tingkat bawah.

“Kebakaran juga telah merebak ke rumah sebelah yang menyebabkan tempat letak keretanya terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, anggota bomba kemudian melakukan pemadaman ‘offensive’ bagi memadam api dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.30 pagi.

Komander operasi juga melaporkan tiada penghuni rumah semasa kebakaran tersebut berlaku.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.36 tengah hari.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily