Dua lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Tanjung Manis

Anggota Bomba memadam kebakaran.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


TANJUNG MANIS, 19 Ogos: Dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas lori membawa jengkaut yang dinaiki mereka tersangkut pada kabel elektrik, di Jalan Kampung Semalau di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9.15 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah lori membawa jengkaut yang tersangkut pada kabel elektrik.

“Terdapat dua lelaki yang dalam keadaan tidak sedarkan diri berkemungkinan terkena renjatan elektrik telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan.

Jalasnya, anggota bomba kemudian terus membuat pemadaman untuk mengawal dan memadam kebakaran tersebut.

“Setelah selesai memeriksa lokasi kebakaran dan memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya, anggota kemudian berangkat balik ke balai,” katanya.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota polis, KKM dan Sarawak Energy Berhad (SEB). — DayakDaily