SEMATAN, Jan 13: Sebuah keluarga yang menetap di Kampung Tanah Hitam di sini berdepan detik mencemaskan apabila berlaku kejadian tanah runtuh di belakang rumah tersebut, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Lundu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 9.14 malam.
Katanya, sejurus menerima laporan kejadian tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja susulan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kejadian tanah runtuh yang dilaporkan hanya melibatkan kawasan aliran air hujan di tepi rumah yang terhakis.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut adalah akibat daripada hujan di mana kejadian tersebut menyebabkan hingga bahagian tepi rumah yang terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja susulan dengan membantu penghuni rumah tersebut dengan menutup aliran air hujan tersebut menggunakan zink.
Katanya, ia adalah bagi memastikan tiada sebarang risiko dan kemerbahayaan akibat daripada kejadian tersebut terhadap para penghuni kediaman berkenaan.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba mendapati insiden tanah runtuh itu dalam keadaan terkawal,” ujarnya lagi. — DayakDaily