140 rumah panjang di Beluru menerima RM4 juta dari kerajaan persekutuan

Penguang (lima dari kanan) menyerahkan dana bantuan kepada salah seorang wakil JKKK rumah paanjang dari kawasan Beluru.

MIRI, Jan 13: Sebanyak 140 buah rumah panjang di kawasan Beluru, Bakong bakal menerima bantuan dana dari kerajaan persekutuan yang bernilai RM4 juta bagi membaiki kerosakan kediaman mereka.

Dalam mengumumkan pengagihan dana tersebut Khamis lalu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil, memberitahu, setiap pintu ketua isi rumah panjang akan layak menerima dana bantuan sebanyak RM1,000.

Penguang ditemui selepas majlis penyerahan dana bantuan tersebut kepada 13 wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang kawasan Beluru yang menjadi kumpulan pertama penerima dana itu, yang melibatkan jumlah sebanyak RM487,500, di sebuah hotel di sini semalam.

13 JKKK rumah panjang yang layak menerima bantuan tersebut adalah, JKKK Rh Benang Pilang (RM27,500); JKKK Rh Cr Joben Sigai (RM25,000); JKKK Rh James Ugil (RM40,000); JKKK Rh Arik China, Sg Liam (RM25,000); JKKK Rh Chabu Makom, Sg Liam (RM100,000); JKKK Rh Labo Abit, Sg Seputi (RM15,000); JKKK Rh Seman Ringgie, Bukit Nunuk Sg Nat (RM25,000); JKKK Rh Ajie, Sg Selepin (RM20,000); JKKK Sg Entulang (RM75,000); JKKK Rh Niga Nyanyong Sg Nyiro ((RM50,000); JKKK Rh Anthony Kedit, Loagan Manuk (RM10,000); JKKK Rh Henry Gomes, Kg Mission (RM50,000), dan JKKK Rh Atam Jawi, Long Tisam (RM25,000).

“Menerusi mesyuarat yang telah diadakan dua minggu lepas, saya telah menerima senarai rumah panjang kawasan Beluru yang layak menerima dana bantuan tersebut…yang kita panggil program bantuan rumah (PBR),” ujar Penguang.


Menurut beliau, penerima yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 untuk satu isi rumah bagi membolehkan mereka (penerima) membaiki kerosakan dalam kediaman masing-masing.

Penguang memberitahu, kriteria utama untuk menjadi penerima dana bantuan itu, ialah penerima (ketua keluarga untuk satu isi rumah) sememangnya menghuni rumah panjang di kawasan Beluru.

Menurut Penguang, tapisan dilakukan sebelum dana bantuan itu diagihkan bagi menggelakkan penyelewengan.

“Kepada mereka yang tidak mendapat bantuan dana ini, mereka tidak perlu risau, kerana kerajaan akan sentiasa memberi bantuan menerusi projek kecil luar bandar,” jelas Penguang. — DayakDaily