Sebuah keluarga cedera dirompak, tiga suspek ditangkap untuk siasatan

Keadaan di lokasi kejadian.

KOTA SAMARAHAN, 17 Mei: Tiga lelaki ditangkap polis kerana disyaki rompak sebuah keluarga di Kampung Semawang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkara ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 33 tahun dan telah ditangkap dari kampung berhampiran.

Katanya, kesemua suspek kini direman enam hari dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kata Sudirman, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh seorang daripada ahli keluarga tersebut.

Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan daripada kakaknya yang berada di tempat kejadian bahawa rumah keluarga mereka yang didiami ibu, bapa, abang serta kakak pengadu telah dimasuki suspek sekitar jam 2 pagi.

Katanya suspek yang tidak dikenali berpakaian serba hitam serta bertopeng.

Dalam kejadian tersebut, suspek dikatakan telah meminta wang daripada mangsa sehingga berlaku pergelutan.

Kesemua mangsa telah dipukul menggunakan objek keras di bahagian kepala dan anggota
badan.

Mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan dan dibenarkan pulang selepas itu. — DayakDaily