Rumah di Jalan Haji Taha musnah terbakar

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 17 Mei: Sebuah rumah di Kampung Bandarasah, Jalan Haji Taha, di sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.22 petang.

Sehubungan itu, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis struktur tidak kekal terbakar 100 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.41 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Komander operasi turut mengesahkan rumah tersebut merupakan rumah kosong.

“Tiada penghuni sebenar tetapi rumah tersebut didiami oleh dua orang gelandangan dan mereka dilaporkan selamat,” katanya.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily