Bomba mantapkan pasukan hadapi kecemasan

Latihan yang diadakan di Tebingan Kuching hari ini.

KUCHING, 2 Sept: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) mengadakan latihan kesiapsiagaan melibatkan 36 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri bermula hari ini.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata menguji 37 buah bot serta mempersiapkan anggota bomba dalam kemungkinan berlaku sesuatu bencana seperti banjir khususnya.

Katanya, latihan tersebut juga sebagai persiapan menghadapi monsun timur laut yang dijangka bermula awal Disember nanti.


Beliau berkata beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh pasukan penyelamat bukan sahaja menyelamatkan mangsa malah perlu menitikberatkan keselamata anggota penyelamat itu sendiri.

“Ini adalah untuk menguji kesiapsiagaan pasukan kita, terutamanya teknik-teknik menyelamat kerana setiap operasi adalah berbeza situasi seperti keadaan air, arus sungai dan sebagainya,”katanya kepada pemberita selepas program latihan Monsun Timur Laut, di Tebingan Kuching, hari ini.

Selain itu, beliau memberitahu kesemua 37 buah bot penyelamat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam keadaan siap sedia.

“Latihan ini juga untuk memastikan semua 37 bot kita di 36 buah balai di seluruh negeri dapat beroperasi dengan baik,” katanya.

Khirudin turut memberitahu kawasan berisiko banjir dan tanah rendah antara yang diberikan perhatian oleh pihaknya semasa program latihan tersebut.

“Latihan ini berterusan dan pasukan kita sentiasa dalam keadaan siap siaga,” katanya. – DayakDaily