Sebuah blok bangunan SMK Matang Hilir terjejas, bumbung diterbangkan angin ribut

Kelihatan keadaan di SMK Matang Hilir selepas angin ribut.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 3: Angin kencang beserta hujan lebat mengakibatkan bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir di sini diterbangkan, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.


Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, satu blok bangunan sekolah tersebut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tersebut.

Katanya, bahagian bumbung blok tersebut hampir kesemuanya tercabut diterbangkan angin ribut.

Kelihatan keadaan di sebuah blok bangunan SMK Matang Hilir selepas bumbung diterbangkan angin ribut.
Kelihatan keadaan di sebuah blok bangunan SMK Matang Hilir selepas bumbung diterbangkan angin ribut.

“Bumbung dan kayu-kayu diterbangkan angin dan jatuh di sekitar bangunan sekolah.

“Tindakan segera diambil dengan mematikan sumber bekalan elektrik dan memindahkan pelajar ke dewan sekolah,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pita keselamatan telah dipasang di sekeliling kawasan bangunan yang terjejas.

Katanya, kejadian berkenaan menjejaskan seramai 1,394 orang pelajar, 101 orang guru dan 23 orang staf sokongan. — DayakDaily