Dapatkan pensijilan MSPO sebelum Disember 31, kata Kok

Kok dan Uggah di sidang media di Kuching hari ini (Julai 3 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 3: Pekebun sawit digesa mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang akan dilaksanakan secara mandatori menjelang Disember 31, 2019.

Menteri Industri Utama Teresa Kok di sidang media selepas sesi dialog bersama pekebun sawit di Kuching hari ini berkata perlaksanaan pensijilan itu mampu meningkatkan harga minyak sawit.

“Perlaksanaan secara mandatori ini adalah bagi memperlihatkan komitmen dalam memastikan minyak sawit dihasilkan secara mampan dan berkualiti,” katanya.

Tambah Kok, pensijilan MSPO penting untuk negara menembusi pasaran antarabangsa terutamanya pasaran Eropah.

Menerusi Deklarasi Amsterdam 2020, katanya, tujuh negara pengimport minyak sawit Eropah telah menyatakan sokongan untk pembelian 100 peratus minyak sawit mampan menjelang tahun 2020.

Negara tersebut adakah Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway dan United Kingdom.

Selain itu, tambah Kok, usaha mempromosikan minyak sawit juga sedang giat dijalankan di India, China dan Jepun.

“Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah menandatagani MoU dengan China Green Food Development Centre mengenai kerjasama yang melibatkan skim pensijilan MSPO.

“Skim pensijilan MSPO juga telah diterima pakai sebagai sumber minyak sawit mampan oleh Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Menurut Kok lagi, daripada keseluruhan keluasan 5.85 juta hektar tanaman sawit di seluruh Malaysia, hanya 2.13 juta hektar atau 36 peratus telah mendapat pensijilan MSPO sehingga Mei 31, 2019.

Pensijilan yang diperkenalkan pada tahun 2013 amat penting untuk mengelakkan pekebun menghadapi masalah selepas Disember 31, 2019, kata beliau

“Apa yang berlaku ialah mereka mungkin mendapat halangan dari kilang sawit.

“Mungkin minyak sawit mereka akan ditolak, tidak diterima oleh kilang ataupun dianggap kelas kedua,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah yang turut hadir di sesi dialog dan sidang media itu yakin semua pekebun sawit di Sarawak dapat memperolehi pensijilan MSPO menjelang penghujung 2019.

Katanya, di Sarawak ada 32 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan 22 telah pun memperolehi pensijilan MSPO.

“Saya yakin menjelang penghujung tahun ini, 10 SPOC yang lain akan mendapatkan pensijilan itu.

“Pekebun kecil yang di dalam SPOC tiada menghadapi masalah untuk memperolehi pensijilan ini,” katanya. — DayakDaily