Sebanyak 1,025 kes kemalangan direkodkan setakat Ogos lalu

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 20: Sejumlah 1,025 kes kemalangan direkodkan membabitkan lori dilaporkan berlaku di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, daripada jumlah kes kemalangan itu, sebanyak 48 kes kematian direkodkan.

Jelasnya, selain itu, sebanyak 25 kes dicatatkan membabitkan kecederaan parah.


“Antara lain, 22 kes cedera ringan direkodkan dan 930 kes lagi melibatkan kerosakan teruk pada kenderaan pengguna jalan raya.

“Polis juga merekodkan sebanyak 389 kes membabitkan kes pemanduan melebihinya had laju,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alexson memberitahu, pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 1,530 saman ke atas pemandu lori di Sarawak.

Jelasnya, saman tersebut yang dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan juga direkodkan setakat Ogos lepas.

“Jumlah saman yang agak besar itu amat membimbangkan kerana ia turut menyumbang kepada kes kematian pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya membudayakan aspek pemanduan secara berhemah,” katanya. — DayakDaily