Wanita cedera parah selepas bergelut dengan penjenayah

Keadaan mangsa yang masih menerima rawatan.

BINTULU, Sept 20: Malang menimpa seorang wanita warga emas apabila dia cedera parah selepas bergelut dengan perompak di sebuah rumah di Jalan Tanjung Kidurong di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita berusia 60-an tersebut cedera di bahagian mukanya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, SUPT Zulkipli Suhaili berkata, siasatan mendapati semasa kejadian mangsa berada di rumah berkenaan seorang diri.


Katanya, wanita berkenaan menyedari kehadiran pencerobohan itu selepas terdengar bunyi bising dari ruang tamu kediamannya.

“Mangsa yang menyedari kehadiran perompak itu kemudian menegur tindakan suspek.

“Perompak yang terkejut dengan kehadiran wanita berkenaan kemudian bertindak menutup muka mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, mangsa kemudian cuba bertindak balas dengan bergelut dengan suspek.

Katanya, semasa pergelutan itu, bahagian muka mangsa kemudian terkena objek tajam hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

“Suspek yang panik melihat mangsa mengalami kecederaan parah, dia terus melarikan diri.

“Mangsa yang cedera kini masih menerima rawatan di Hospital Bintulu,” katanya lagi.

Sambil menambah, beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. — DayakDaily