Eksesais Keris Kartika Malaysia dan Indonesia capai matlamat

Kelihatan anggota tentera yang terlibat dalam latihan KEKAR MALINDO.

SERIAN, Sept 20: Eksesais Keris Kartika Malaysia dan Indonesia (KEKAR MALINDO) Siri 42AB/2018 telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

Eksesais KEKAR MALINDO tersebut telah dilaksanakan mulai Sept 11 hingga 20 di sekitar kawasan Kuching, Padawan dan Serian.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) telah mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM), manakala Briged Infantri 24/Bulungan Chakti (BRIGIF 24/BC) mewakili Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD).


Kelihatan anggota tentera yang terlibat dalam latihan KEKAR MALINDO.

Katanya, kedua-dua pasukan telah melaksanakan eksesais bersama yang melibatkan pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) dan satu kompeni dari Batalion Infantri 614/Raja Pandhita (YONIF 614/RJP) yang terdiri daripada 38 pegawai, 586 anggota dari TDM dan 20 pegawai, 80 anggota dari TNI AD.

“Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Shamsirudin Mohd Shariff yang mewakili Panglima 1 Divisyen dan Brigadier Jeneral TNI Teguh Pudjo telah merasmikan Majlis Penutup Eksesais KEKAR MALINDO SIRI 42AB/2018.

“Dalam ucapannya, beliau telah mengucapkan tahniah kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat kerana telah bersatu hati dan menunjukkan komitmen yang tinggi bagi mencapai objektif latihan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan anggota tentera yang terlibat dalam latihan KEKAR MALINDO.

Jurucakap sama memberitahu, sebelum perlaksanaan majlis penutup pasukan 10 RRD telah membuat serangan akhir ke atas kedudukan pertahanan musuh bertempat di Ladang SELCRA Mongkos.

Turut hadir katanya, Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, dan Komandan Briged Infantri 24 Bulungan Cakti, Kolonal Infantri Jones Sasmita Mulawan, selaku pengarah latihan bersama. — DayakDaily