SDNU sambut baik saranan PM untuk tidak balik ke rumah panjang meraikan Hari Gawai

Tan Sri William Mawan

KUCHING, 10 Mei: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) menyambut baik pengumuman perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung langkah-langkah keselamatan yang perlu diikuti sewaktu perayaan Hari Gawai.

Presidennya, Tan Sri William Mawan, berkata Hari Gawai boleh diraikan bersama dengan keluarga terdekat sahaja yang tidak melebihi 20 orang dalam satu masa.

“Pengunjung-pengunjung tersebut haruslah dari rumah panjang atau kawasan yang sama, dan bukannya dari rumah panjang atau kawasan yang lain.


“Langkah-langkah keselamatan seperti penjarakan sosial, menggunakan topeng muka, sanitiser tangan dan lain-lain harus dipatuhi sepanjang masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun, tegas Mawan, Sarawak akan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Beliau yang juga ADUN Pakan percaya JPBNS akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung sambutan Hari Gawai dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa, SDNU, menurut Mawan, tidak sesekali menghalang sambutan Hari Gawai.

Katanya, penularan wabak Covid-19 seakan sudah sampai ke kemuncaknya dan orang ramai berisiko tinggi dijangkiti lebih-lebih lagi jika mereka yang diperantauan kembali ke Sarawak untuk meraikan gawai.

Beliau turut menyokong saranan Malaysian Medical Association (MMA) cawangan Sarawak agar rakyat Sarawak di perantauan termasuk yang berada di luar negara supaya jangan balik ke Sarawak pada sambutan Hari Gawai tahun ini kerana ianya boleh membawa risiko penularan wabak Covid-19.

“Kita harus tabah dan berkorban sewaktu melalui musibah ini dan sebolehnya, kita mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk tidak balik ke kampung halaman bagi sambutan Hari Gawai,” ujar Mawan lagi. — DayakDaily