SDEC pengendali MYSRBN

Dr Hazland (empat dari kiri) pada sesi taklimat tersebut.

KUCHING, 6 April: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni telah menerima kunjungan hormat dan mendengar taklimat daripada Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) di Menara Pelita di sini pada semalam.

Kunjungan hormat turut disertai Universiti Swinburne dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

Ketua Pegawai Operasi SDEC Malseni Jamal memberitahu SDEC merupakan salah satu syarikat yang berperanan untuk menjadi pemacu utama bagi ekonomi digital sektor swasta.


Katanya, SDEC telah diberi mandat oleh Kerajaan Sarawak bagi mengendalikan kawasan luar bandar melalui Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MYSRBN) termasuk kesalinghubungan, rangkaian teras, dan sistem sokongan operasi.

“Ini akan dapat memperkasakan ekonomi digital di Sarawak melalui sambungan jalur lebar yang lebih baik di seluruh kawasan luar bandar.

“SDEC juga menguruskan Pusat Data SDEC, penyelesaian Awan Hibrid (SDECloud) termasuk hosting dan keselamatan siber, pengesahan dan pengujian perisian, pengurusan IT korporat dan menguruskan penyepadu sistem serta rakan perkhidmatan,” ujar beliau.

Menurut Malseni, dengan adanya usaha ini, setiap maklumat berkenaan kelestarian alam sekitar akan dapat tersebar dengan Lebih berkesan.

“Tidak hanya memfokuskan dari sudut sosial sahaja, malah kemajuan teknologi untuk kelestarian alam sekitar juga dipandang serius terutama sekali dari sudut kualiti udara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Universiti Swinburne Prof Patrick Then menerangkan usaha mereka membantu Kerajaan Sarawak dalam menangani isu pencemaran udara dengan memperkenalkan sistem pemantauan kualiti udara (AQMS).

Katanya, AQMS adalah penambahbaikan daripada sistem pengawasan kualiti alam Sekitar yang terdahulu untuk mendapatkan kualiti udara dan punca pencemaran dengan lebih tepat.

“Dengan adanya sistem sebegini secara tidak langsung dapat melaporkan keadaan terkini kualiti alam sekitar sekaligus memantau, mencegah dan mengawal pencemaran berkenaan daripada terus merebak,” ujar beliau.

Turut menyampaikan taklimat ialah Ketua Kumpulan Penyelidikan AquES (Penyelidikan Sains Akuatik dan Alam Sekitar) Prof Dr Moritz Mueller juga dari Universiti Swinburne. — DayakDaily