Sarawak sedia 584 pusat pemindahan bagi menghadapi musim tengkujuh

Fatimah (kiri) menyampaikan geran NGO dari KWKPK kepada wakil PAWE di PDK Sri Satok.

KUCHING, 21 Nov: Sarawak telah sedia untuk membuka keseluruhannya sebanyak 584 pusat pemindahan yang mampu menampung seramai 182,325 mangsa banjir bagi menghadapi musim tengkujuh hujung tahun ini.

Sebanyak 134 pusat itu samada sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti terletak di Kuching manakala Samarahan (49 pusat), Serian (33 pusat) dan  Sri Aman (39 pusat).

Selebihnya terletak di Betong (34 pusat), Sarikei (25 pusat), Sibu (48 pusat), Kapit (28 pusat), Mukah (36 pusat), Bintulu (26), Miri ( 107 pusat) dan Limbang (25 pusat).


Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak juga sudah menyediakan peralatan bagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat itu yang disimpan di depo jabatan itu terletak di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.

“Kita juga sudah membelanjakan sebanyak RM400,000 di depo, disitulah kita simpan peralatan untuk mangsa banjir (di pusat pemindahan) misalnya tilam, tikar bantal, selimut, tuala, lampin kanak-kanak, hygiene kit, air minuman, kain batik dan kain pelikat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan geran Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kementerian Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di PDK Sri Satok, di sini, hari ini.

Fatimah berkata dari segi makanan bagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat itu pula, diputuskan tiada kelengkapan dapur akan disediakan bagi memasak makanan kepada mereka seperti tahun sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.

“Keputusan yang dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)  bahawa tidak ada aktiviti memasak di pusat pemindahan masa pandemik Covid-19. Kalau dahulu memang ada kita libatkan sukarelawan yang memasak bagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat itu,” katanya.

Berikutan itu pihaknya akan mendapatkan bekalan makanan yang sudah dimasak dari pembekal makanan katering bagi diberikan kepada mangsa banjir sejurus dipindahkan ke pusat itu tahun ini.

“Kita juga sudah mengenalpasti sukarelawan kebajikan yang bersiap sedia untuk membantu (JKM Sarawak) nanti di pusat pemindahan terbabit,” katanya.

Setakat ini ada seramai 548 orang sukarelawan terbabit dalam rekod jabatan itu.

Selain itu, pihaknya juga telah mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi mangsa banjir di pusat terbabit termasuk dari segi penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan diri.

Disamping itu, pihaknya sudah membelanjakan sebanyak RM195,000 bagi menyediakan bekalan makanan kering yang disimpan di 13 pangkalan hadapan bagi diagihkan kepada penduduk kawasan mudah banjir dan terputus bekalan makanan serta yang jauh dari pembekal makanan tahun ini.

Pangkalan hadapan terbabit terletak di SK Beradek dan Kampung Semilang di Kuching, Kampung Long Busang, Bukit Mabong (Kapit), Rh Dilang Ulu Anap, Klinik Tab Timber, Rh Ado Kakus (Bintulu), Long Teran Kiri, Long Teran Kanan, Long Bemang, Long Ikang, Long Iman Mulu, Long Loyang dan Long Jegan (Miri). — DayakDaily