Sarawak sasar ekport udang sebanyak RM1 bilion setahun menjelang 2030 — Dr Rundi

Dr Rundi (tiga dari kiri) mendengar taklimat daripada pengurus Sea Horse Corporation Sim Ing Jye ketika hadir ke majlis menandatangani perjanjian usaha sama.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Sept: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah mensasarkan nilai eksport udang sebanyak RM1 bilion setahun menjelang tahun 2030.

Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, ia sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport utama makanan pada ketika itu nanti.


Justeru katanya, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 7,000 hektar tanah untuk dijadikan kolam menternak udang bagi mencapai nilai eksport yang disasarkan.

“Ketika ini terdapat lima syarikat besar yang mengeksport udang dengan nilai eksport keseluruhan RM400 juta setahun.

“Untuk mencapai sasaran nilai eksport RM1 bilion setahun, kita memerlukan 7,000 hektar tanah untuk dijadikan sebagai kolam ternakan udang.

“Selain Rambungan, kita melihat kepada potensi di Lawas, Sarikei dan Kuala Rajang,” katanya di sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu, Dr Rundi telah menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Ternakan Udang di antara Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Sea Horse Corporation Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian tersebut, PPNS akan memainkan peranan utama dalam usaha meningkatkan pengeluaran udang.

Manakala Sea Horse Corporation yang memiliki kepakaran pula disediakan tanah seluas 286 hektar di Lobak Stoh di Rambungan untuk menjayakan projek.

Syarikat ini telah terlibat di dalam industri ternakan udang selama 44 tahun dengan nilai eksport RM90 juta setahun dan pasarannya adalah Hong Kong, Jepun, China, Turki, Australia, New Zealand, Singapura dan Taiwan.

Dalam sidang media yang sama, Dr Rundi berkata nama kementeriannya bakal ditukar kepada nama baharu iaitu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.

Katanya, perkara tersebut telah dipersetujui oleh kabinet dan akan diumumkan secara rasmi oleh Premier Sarawak dalam masa terdekat.

“Walaupun nama ditukar, namun fungsinya kekal sama dan lebih memberi fokus kepada industri makanan serta komoditi.

“Pendekatan saya ialah berhubung sosio-ekonomi iaitu meningkatkan pendapatan golongan B40 seperti petani dan penternak,” ujar beliau. — DayakDaily