PRU15: GPS tetap lawan termasuk PBM jika sertai BN, kata Dr Rundi

Dr Rundi (tengah) bercakap kepada wartawan di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Sept: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Dr Stephen Rundi tidak nampak sebarang ancaman daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau yakin, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap berdiri teguh walaupun sekiranya permohonan PBM untuk menyertai Barisan Nasional (BN) diterima.


Persoalan hadir sekiranya diterima, PBM mungkin akan menggunakan logo BN dan dikhuatiri boleh mengelirukan pengundi Sarawak.

“Pertamanya kita fokus kepada GPS. Apa sahaja perkara yang berlaku terhadap parti lain selain empat parti dalam GPS adalah bukan urusan kita.

“Kalau mereka memilih untuk menentang kita, kita akan lawan. Berhubung logo yang ingin mereka (PBM) gunakan juga bukan urusan kita.

“Kita bukan lagi dalam BN sejak 2018, kita tetap lawan. Kita mahukan seluruh rakyat Sarawak untuk bersama kita melawan demi Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Dr Rundi yang pernah menjadi Setiausaha Agung BN sehingga 2018, Sarawak kini dalam kedudukan selesa setelah meninggalkan BN.

Dahulu semasa di dalam BN katanya, parti-parti dari Sarawak tidak memiliki kuasa di dalam membuat keputusan kerana gabungan tersebut disertai oleh 14 parti.

“Sekarang kita sudah keluar BN dan kita boleh nampak kedudukan kita sekarang,” ujar Dr Rundi yang juga Menteri Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah

Dalam pada itu, BN masih memperhalusi permohonan beberapa parti, termasuk PBM yang diketuai presidennya yang juga MP Julau Larry Sng.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata permohonan itu akan diteliti oleh urus setia sebelum pengumuman mengenainya dibuat. — DayakDaily