Sarawak sasar bekal kuasa elektrik ke Sabah pada 2024 – Julaihi

Julaihi (duduk tengah) bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022. Turut kelihatan adalah Timbalan Menteri Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang (duduk kiri) dan Timbalan Menteri Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (duduk kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Nov: Sarawak mensasar untuk membekalkan kuasa elektrik sebanyak 30MW ke Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada tahun 2024.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia masih lagi dalam peringkat rundingan komersial selain bergantung kepada siapnya projek Northern Grid Extension.


“Ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga di Asia Tenggara menjelang 2030 serta mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio pasaran,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Julaihi, Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad telah pun membekalkan elektrik ke Kalimantan sejak 2016.

Katanya, purata permintaan bekalan elektrik sehingga September 2022 adalah 89.6MW, manakala jumlah tenaga yang dieksport ini merupakan 2 peratus daripada kapasiti sedia ada yang berjumlah 5,996MW.

“Untuk rekod, penggunaan elektrik di Sarawak sekarang adalah berjumlah 4,398MW.

“Ini bermakna kita masih mempunyai baki sebanyak 1,478MW yang mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam Negeri, termasuk penyambungan di bawah Skim Alaf (Additional Late Applicant Fund) yang sedang dan masih dilaksanakan sekarang.

“Tarif yang dikenakan ke atas tenaga yang dieksport ini adalah lebih tinggi daripada tarif kegunaan tempatan,” kata Julaihi.

Menurut beliau lagi, stesen-stesen janakuasa baharu sedang dalam perancangan dan pembinaan bagi memenuhi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat.

Ia melibatkan jumlah kapasiti 2,577MW menerusi ‘Combined Cycle Gas Turbine’ (CCGT) di Miri berkapasiti 400MW, CCGT di Samalaju berkapasiti 842MW, sistem solar terapung di Empangan Batang Ai berkapasiti 50MW dan Empangan Baleh berkapasiti 1,285MW.

Stesen-stesen janakuasa ini dijangka siap di antara tahun 2023 hingga 2028.

Manakala di bawah projek-projek Northern Grid Extension, pencawang 275 kilovolt (kV) Bunut di Miri sedang dalam pembinaan dan dijadualkan siap pada suku pertama tahun 2023.

“Ianya akan disambung ke Similajau, Miri, Limbang dan Lawas melalui talian penghantaran 275kV.

“Dengan siapnya projek ini, bahagian Limbang dan Lawas akan disambungkan ke talian grid elektrik Sarawak yang dijangka siap menjelang tahun 2024,” katanya. — DayakDaily